Punca kegagalan filem Gagal_pecah_panggung

Cakap-cakap negatif

Sejak tahun 1980an, kebanyakan pawagam menghentikan tayangan sesebuah filem yang tidak berupaya memperoleh kutipan memberangsangkan pada minggu pembukaannya. Akibatnya, prestasi sesebuah filem pada minggu pertama tayangan adalah sangat penting bagi membentuk persepsi sama ada filem tersebut boleh berjaya atau tidak. Penggunaan Internet serta perkhidmatan rangkaian sosial menyebabkan cakap-cakap negatif tersebar dengan lebih cepat.

Kurang promosi

Promosi adalah salah satu faktor kejayaan filem, namun ada sesetengah studio yang gagal mempromosikan filem-filemnya. Misalnya, 20th Century Fox dan Warner Bros. mengeluarkan banyak filem animasi tetapi jarang mempromosikannya, menyebabkan beberapa filem animasi keluaran kedua-dua syarikat gagal pecah panggung serta menyebabkan jabatan penampilan animasi bagi kedua-dua studio ditutup.

Persaingan

Kutipan tayangan filem akan menjadi rendah apabila terlalu banyak filem ditayangkan pada masa yang sama. Di Malaysia, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) memperkenalkan Skim Wajib Tayang yang membolehkan judul-judul filem tempatan yang mengambil bahagian diberi tempoh tayangan yang lebih panjang; pawagam-pawagam diwajibkan untuk menayangkan filem-filem tersebut mengikut tempoh minimum yang ditetapkan. Langkah tersebut membantu mengurangkan impak persaingan antara filem tempatan dengan filem luar negara.

Kos penerbitan yang tinggi

Terdapat beberapa judul filem yang mana jika dilihat daripada jumlah kutipan kasar sepatutnya boleh dianggap sebagai berjaya, tetapi sebenarnya gagal pecah panggung berikutan kos penerbitan yang terlalu tinggi sehinggakan jumlah kutipan yang tinggi pun tidak cukup untuk balik modal. Contohnya, kos pembikinan filem Final Fantasy: The Spirits Within berjumlah AS$137 juta sedangkan kutipan kasarnya hanya AS$85 juta, sekaligus membawa kepada penutupan Square Pictures.[1][2]

Faktor luaran

Sungguhpun ia jarang berlaku, namun sesebuah filem boleh gagal pecah panggung disebabkan beberapa faktor luaran yang tidak ada kena-mengena dengan perbelanjaan penerbitan filem serta kutipan kasarnya, misalnya imej buruk seseorang pelakon ataupun sentimen-sentimen seperti anti perang dsb.